Tuesday, 24 April 2012

SITUASI 33 : BUAH-BUAHAN DALAM DIALEK KELANTAN

Dalam dialek Kelantan, kebanyakan nama buah-buahan berbeza dari segi panggilan atau gelarannya. Disini saya dapat saya senaraikan beberapa contoh buah-buahan yang berbeza sebutaan dalam dialek kami.

 rambutan-mokte'  
manggis-woh seto'
ciku-sawo nilo
kelapa- nyiur
mangga-pauh
tembikai-timun cina
Pada pendapat saya, setiap daerah atau tempat memanggil buah-buahan dengan panggilan tertentu dan berbeza dengan bahasa standard. Jadi, jika anda berkunjung ke Kelantan, jangan terkejut jika anda mendengar panggilan buah-buah diatas dengan panggilan yang lain. Bagaimana pula dengan panggilan buah-buahan di tempat anda??


Monday, 23 April 2012

SITUASI 32: RAGAM BAHASA



 Bahasa Sindiran  

-   untuk menyindir seseorang dengan tidak disebutkan secara tepat, hanya dikias-kiaskan kepada perkara lain.

Contoh : Nampaknya mendung sahaja hari ini, hari pun dah lama tak hujan!
(ditujukan kepada seseorang yang berwajah muram atau masam sahaja.)

 Bahasa Menggiat  

-          lebih kurang sama dengan bahasa sindiran tetapi tidak ada kiasan
-          maksudnya hanya untuk mengusik atau bergurau.
-          dipertuturkan untuk mengetahui reaksi daripada orang yang ditujukan.

Contoh : Amboi, merah sangatlah Mak Ngah!

(ditujukan kepada orang perempuan yang pakaiannya berwarna terlalu merah, tujuannya untuk mengusik)

 Bahasa Mengejek  

Bahasa yang mengata seseorang dengan perkataan yang tepat , tetapi dengan gaya mengajukkan keburukannya serta mempermain-mainkannya sehingga orang yang mendengar akan mentertawakannya. Kata-kata ini akan menimbulkan perasaan marah orang yang ditujukannya itu.

Contoh : muka tak malu! belum lulus SPM sudah berangan nak kahwin.

(ditujukan kepada orang yang gatal bermain cinta walaupun belum dapat berdikari atau lulus peperiksaan untuk menjamin masa depannya)

 Bahasa Terbalik  

-bermaksud apa yang diperkatakan mempunyai pertentangan maksud dengan perkataan yang diucapkan. Tujuannya adalah untuk menyedarkan seseorang terhadap kesalahan yang dilakukannya.

Contoh : kan sudah kena denda, lain kali bising lagilah.

Ditujukan kepada orang lain yang sebelumnya kena denda  kerana membuat bising. Tujuannya untuk memberi ingatan supaya jangan membuat kesalahan yang sama.

✿ Bahasa Merajuk ✿ 

menunjukkan perasaan kecil hati atau menarik diri. Sesuatu perbuatan yang dirasakan menghina atau tidak sepatutnya dilakukan.

Contoh : orang tak sudi singgah, apa nak buat. Maklumlah pondok kita tak ada hawa dingin.

 Bahasa Tempelak 

kata-kata untuk membalikkan percakapan seseorang yang dikeluarkan sebelum ia sendiri  melakukan kesalahan itu.

Contoh : Dulu ada orang datang meminang, awak tolak, awak tak mahu, tak ada rupalah, tak ada hartalah, macam-macma alas an. Sekarang umur dah banyak siapa lagi yang hendak?

 Bahasa Herdik  

seakan-akan bahasa tempelak tetapi tujuannya untuk menunjukkan kesalahan pada masa itu juga, bukannya pada masa lalu. Mempunyai persamaan dengan maki tengking tetapi tujuannya adalah untuk kebaikan, bukannya untuk memalukan orang lain.

Contoh : Hei, tak ada kerja lain ke! Asyik nak tidur sahaja.
  
 Bahasa Melampau  

mengatakan sesuatu perkara itu secara berlebih-lebihan melebihi apa yang sepatutnya hingga kadang-kadang tidak diterima akal.

Contoh : Kecantikan wajahnya itu tidak ada tolok bandingannya di dunia ini.

 Bahasa Merendah 

mengatakan sesuatu perkara itu kecil dan kurang. Tujuannya untuk merendah diri.

Contoh : Terimalah sedikit hadiah yang tidak sepertinya ini.
              Izinkan saya yang daif ini menyampaikan ceramah kepada tuan-tuan sekalian.


 Bahasa Naik 

Ragam bahasa yang menguatkan tujuan kata dengan membawakan ke hadapan hati pembaca akan gambaran fikiran yang beransur-ansur naik dataran yang kendur kepada dataran yang semakin tegang.

Contoh :

Sudahlah sekolah kerajaan dirikan, gaji guru-guru kerajaan bayar, buku-buku diberi percuma, padang bola dan bola itu pun disediakan oleh kerajaan juga!

 Bahasa berulang  

Ragam bahasa yang menggunakan perkataan, frasa, atau ayat secara berulang-ulang dua atau tiga kali untuk menguatkan maksud sesuatu yg hendak ditekankan oleh penutur.

Contoh:

Kaya, kaya, kaya, ya semua orang mahu kaya.

Belajar, belajar, belajar, tak kira siapa, di mana dan bila, kita harus lakukan  demi kesejahteraan hidup  pada masa depan.

 Bahasa mengeluh  

untuk melahirkan perasaan kecewa dan menyesal dengan cara mengeluh.

Contoh :

Hai, kalaulah isteriku masih hidup bolehlah aku bermanja!

Oh, beginilah nasib kami apabila majikan tidak bertimbang rasa! 


PS: KEINDAHAN DALAM BERBAHASA

Sunday, 22 April 2012

SITUASI 31 : KESALAHAN PADA PAPAN TANDA

Kita sering menjumpai papan tanda dimana sahaja kita berada. Papan tanda tersebut bertujuan memberi arah tuju, larangan, nasihat, iklan, kempen dan sebagainya. Kegunaan papan tanda ini sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Cuba kita bayangkan jika papan tanda ini tidak wujud, tentu sukar untuk kita melakukan aktiviti seharian malah sesuatu larangan tidak dapat disampaikan seterusnya mengundang bahaya. Apa yang ingin saya kongsi pada hari ini ialah mengenai kesalahan ejaan dalam papan tanda yang menyebabkan komunikasi dua hala terganggu malah turut mencemarkan bahasa Melayu.

 CONTOH:
















Pada pendapat saya keindahan negara Malaysia ini tidak seharusnya dicacatkan dengan penggunaan bahasa dan ejaan di papan tanda,gerai makan,klinik dan iklan yang salah sehingga menimbulkan kekeliruan kepada kita.Situasi ini amat mempengaruhi gaya berbahasa kita terutamanya kepada kanak-kanak.Seperti yang kita maklum, Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan negara kita.Jika kita sendiri yang merosakkannya,siapa lagi yang boleh menghormati bahasa ibunda kita.Sayang sekali,perkara seperti ini sering diambil mudah oleh kita semua.Seharusnya pihak yang berkenaan dan juga kita semua memandang serius kepada permasalahan ini.Jika perkara ini berterusan,tidak hairanlah negara kita digelar negara bahasa rojak yang semakin kehilangan tamadun.