Thursday 3 May 2012

SITUASI 38: PERANCANGAN BAHASA

"DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA"


KONSEP PERANCANGAN BAHASA:

1.Perancangan bahasa bererti pembinaan bahasa secara sedar untuk memungkinkan sesuatu bahasa itu berupaya menangani fungsi-fungsi baru yang dikenakan ke atasnya. Bahasa melayu dirancang supaya dapat menjadi bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang dan kehakiman, bahasa ilmu, dan bahasa seluruh sistem kehidupan moden.


2. Perancangan bahasa terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
-Perancangan taraf
-Perancangan korpus
Perancangan yang pertama memberikan taraf tertentu kepada sesuatu bahasa, sementara perancangan jenis yang kedua membina bahan bahasa tersebut menjadi bahasa yang kemas sistemnya supaya dapat memenuhi taraf yang diberikan kepadanya.

3. Perancangan taraf bahasa Melayu melibatkan pemberian tiga taraf penting kepada bahasa Melayu. Masing-masing ialah taraf sebagai
· bahasa kebangsaan,
· bahasa rasmi, dan
· bahasa pendidikan.


Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat besar ertinya, terutama sebagai lambang dan unsur penyatuan bangsa Malaysia. Tentu sukar diterima akal bahawa bahasa yang dinobatkan sebagai bahasa bagi 25 juta orang (dalam konteks Malaysia saja) tidak dapat menjadi wahana pemikiran moden, sedangkan transformasi budaya terus-menerus berlangsung. Oleh itu, taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terus mengukuhkan potensi bahasa tersebut sebagai bahasa yang dapat berinteraksi dengan isu-isu dunia moden.

4. Taraf bahasa rasmi yang ditetapkan bagi bahasa Melayu pula menyediakan ruang yang cukup luas bagi bahasa Melayu berkembang dalam bidang-bidang profesional seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi, dan lain-lain. Hal ini demikian kerana menurut tafsiran Perlembagaan, istilah rasmi merujuk kepada segala urusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Pentadbiran Awam. Dengan tafsiran itu dan dengan andaian bahawa tafsiran itu berlaku sepenuh-penuhnya, maka tidak diragui bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa moden, iaitu bahasa yang dapat mengungkapkan konsep-konsep kehidupan moden. Dapat dikatakan bahawa seluruh konsep yang berkaitan dengan urusan rasmi kenegaraan mewakili kehidupan dunia moden. Yang menjadi soal ialah kemampuan dan kesediaan semua kalangan yang terlibat dalam pentadbiran negara menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi.


5. Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan atau bahasa ilmu menyediakan ruang yang cukup luas untuk kita memupuk bahasa tersebut sebagai bahasa moden. Hal ini demikian kerana asas kehidupan moden yang terpenting ialah ilmu. Bahasa yang mampu mengungkapkan hal ehwal ilmu dengan sendirinya adalah bahasa moden. Dengan potensinya yang telah terbukti pada zaman gemilang tamadun Melayu-Islam sebagai bahasa ilmu, dan dengan dibantu oleh adanya Dasar Bahasa Kebangsaan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan, bahasa Melayu kini sedang ada di landasan menuju kesempurnaannya sebagi bahasa moden. Bahasa Melayu bukan saja dapat menjadi wahana penyebaran ilmu di peringkat persekolahan dan dalam bidang sains sosial, malah terbukti mampu menjangkau ke peringkat universiti dan masuk ke medan ilmu-ilmu di peringkat persekolahan dan dalam bidang sains sosial, malah terbukti mampu menjangkau ke peringkat universiti dan masuk ke medan ilmu-ilmu sains tabii dan bidang teknikal. Singkatnya, bahasa Melayu dapat dijadikan bahasa perantaraan untuk komunikasi ilmu sejagat.


6. Hubungan pembakuan bahasa dengan perancangan bahasa
Secara mudah, perancangan bahasa ialah "usaha, tindakan, atau proses merancang sesuatu bahasa yang tertentu secara sedar untuk memungkinkan bahasa itu mampu memenuhi fungsi-fungsi tertentu". Takrif yang dikemukakan itu dapat dihubungkan dengan tahap-tahap perancangan bahasa yang dikemukakan oleh Profesor St. Takdir Alisjahbana, iaitu:
1. pemilihan bahasa kebangsaan;
2. propaganda;
3. pembakuan;
4. peluasan penggunaannya
7. Pejuang dan pemimpin awal negara telah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ketetapan itu diabadikan dalam Perlembagaan Negara yang menjadi undang-undang induk. Tahap propaganda untuk memungkinkan penerimaan bahasa yang dipilih itu telah berlangsung dengan jayanya pada tahun 1960-an melalui kempen Minggu dan Bulan Bahasa Kebangsaan di bawah teraju Panglima Bahasa Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail yang ketika itu menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Tahap ketiga, iaitu pembakuan merupakan proses yang berterusan tetapi asasnya telah diletakkan. Tahap keempat, iaitu peluasan penggunaan bahasa tersebut berkaitan dengan fungsi yang diberikan kepada bahasa itu. Dalam konteks bahasa Melayu di Malaysia, tiga fungsi utama yang ditekankan ialah fungsi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu. Fungsi pertama dan kedua ditetapkan dalam Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, manakala fungsi ketiga ditetapkan dalam Akta Pendidikan 1961.

8. Berdasarkan uraian ringkas di atas, teranglah bahawa pembakuan bahasa merupakan unsur dan proses yang penting dalam perancangan bahasa. Secara langsung pula, pembakuan bahasa mempunyai peranan yang penting dalam pembinaan negara, dengan mengingat bahawa perancangan bahasa merupakan salah satu prasyarat pembinaan Negara.

9. Proses perancangan bahasa terbahagi kepada 3 peringkat iaitu;
-Peringkat membuat keputusan dasar
-Peringkat pelaksanaan
-Peringkat penilaian.


Peringkat membuat keputusan
Ialah pringkat membuat keputusan dasar dan kedudukan tentang bahasa yang hendak dirancang. Ini melibatkan bebeberapa unsur iaitu
-penyusunan strategi bagi melancarkan kegiatan-kegiatan perancangan bahasa
-meletakkan taraf bahasa Melayu
-dimulakan sejak DBP ditubuhkan sehingga selepas merdeka.


Peringkat Pelaksanaan
Peringkat ini melibatkan pelaksanaan rancangan-rancangan yang telah disusun. Peringkat ini dimulakan pada tahun 1970-an lagi dan melibatkan kegiatan pengekodan dan pemupukan bahasa Melayu secara intensif dijalankan.


10. Pengekodan bermaksud proses bagi menghasilkan satu variasi bahasa standard yang sempurna dan seragam dari aspek-aspek tatabahasa, ejaan, makna, dan sebutan. Tujuan pengekodan bahasa adalah untuk,
a. menghasilkan satu variasi bahasa yang lengkap dan sempurna, berkeupayaan memperketakan semua gejala dalam masyarakat kita, setanding tarafnya dengan bahasa-bahasa lain.
b.Membolehkan pengguna bahasa Melayu memantapkan penggunaan bahasanya supaya sesuai dan setaraf dengan bahasa lain.
c.Meletakkan taraf variasi bahasa yang dipilih itu, iaitu bahasa yang baku dan standard.
Mengikut Fishman et al (1971) proses pengekodan meliputi usaha-usaha ke arah “penyerapan variasi-variasi bahasa dari segi daerah dan sosial melalui penyediaan tatabahasa, kamus, panduan ejaan, dan sebagainya”.

11. Selain daripada pengekodan (atau kodifikasi), satu lagi proses yang berlaku pada peringkat pelaksanaan ini ialah pemupukan. Pemupukan bermaksud menumpukan perhatian pada usaha-usaha untuk mengembangkan bahasa supaya tercapai keadaan “saling terjemah” (inter-translatability) dengan beberapa bahasa moden lain. Ini dilaksanakan melalui pemupukan istilah-istilah baru, khususnya dalam bidang profesional dan teknikal.

12. Peringkat penilaian
Peringkat ini melibatkan penilaian dan peninjauan kembali terhadap hasil dan kesan kegiatan perancangan, yang bertujuan membantu perancangan selanjutnya. Peringkat ini dilakukan untuk mencapai tahap kematangan dan kemantapan penggunaan bahasa Melayu. Perkara ini perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanan bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan dari peringkat rendah hinggalah ke universiti.

ps: maaf..entry kali ini saya hanya salin dan tampal dalam blog ini..sebelum itu..saya sudah meminta izin dengan tuan empunya blog iaitu guru cemerlang bahasa Melayu daerah Besut , Puan Fariza Nurbaya,,terima kasih cikgu :)


No comments:

Post a Comment