Monday, 12 March 2012

SITUASI 7 : KEPERCAYAAN @ PANTANG LARANG

Situasi bahasa yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah mengenai kepercayaan. Kepercayaan bermaksud anggapan atau keyakinan bahawa sesuatu yang dipercayai itu benar dan nyata. Setiap kaum atau bangsa mempunyai kepercayaan mereka tersendiri. Malah, kepercayaan itu masih diamalkan sehingga hari ini. Sebagai contoh masyarakat Melayu itu sendiri mengamalkan kepercayaan nenek moyang mereka sejak turun temurun lagi. Situasi ini saya alami sendiri semasa di rumah.

         Setiap hari saya dan adik akan menolong ibu memasak hidangan tengahari di dapur. Adik saya Mariza, selalu menyanyi sambil memasak sehinggakan kadang-kadang dia tidak sedar ibu memanggilnya. Suatu hari, ibu saya menegurnya. " seorang anak gadis yang suka menyanyi dan bersiul di dapur akan mendapat suami yang tua apabila berkahwin kelak" . Mariza terus senyap dan saya hanya mentertawakannya. Terasa lucu dengan teguran ibu itu.

Contoh kepercayaan/pantang larang masyarakat Melayu:
*perempuan tidak elok bangun lambat, nanti sukar dapat jodoh
*jangan angkat kaki semasa meniarap, nanti ibu meninggal
*jangan mengintai orang mandi, nanti mata ketumbit
*jangan tunjuk pada pelangi, nanti tangan kudung
*jangan ketawa waktu magrib, nanti masuk hantu
*jangan bersiul dalam rumah, nanti ular masuk
*jangan duduk atas bantal, nanti naik bisul
*jangan jelir lidah,nanti kena potong
     
"jangan ya"

Pada pendapat saya, jika kepercayaan ini dianggap benar, maka tidak mustahil setiap golongan perempuan yang masih belum berkahwin  tidak akan menyanyi sambil memasak ketika di dapur. Hal ini demikian kerana, siapa saja tidak mahu berkahwin dengan lelaki tua kan?. Sebenarnya kita tidak di galakkan menyanyi sambil memasak kerana bimbang berlakunya sesuatu yang memudaratkan seperti masakan yang dimasak hangit dan sebagainya. Situasi ini menunjukkan bahawa nenek moyang kita  dahulu banyak meninggalkan kepercayaan termasuk pantang larang, tunjuk ajar, nasihat dan sebagainya kepada kita hari ini sebagai panduan dalam kehidupan. Oleh yang demikian, setiap kepercayaan dalam masyarakat itu mempunyai tujuannya yang tersendiri dalam mendidik masyarakatnya.



No comments:

Post a Comment