Thursday, 29 March 2012

SITUASI 20 :KURIK KUNDI

Sewaktu menyiapkan tugasan sambil mendengar radio petang tadi, saya terdengar lagu KURIK KUNDI yang dinyanyikan oleh Dato' Siti Nur Haliza. Apa yang istimewanya lagu ini ialah, ia menggabungkan semua loghat setiap negeri di Malaysia. Selain itu juga, lagu ini turut menyelitkan kata-kata nasihat yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian kita. 

"kurik kundi"

Lirik Lagu kurik kundi-Dato Siti Nur Haliza

Nak berkabar tingginya budi kita ya tuan
Nak berkisar kaya tutur bicara
Kalau tinggi untung jadi bintang
Oh... oh... oh...
Kalau rendah masih jadi intan

Teratak mahligai bak dipayung teduhnya
Bila budi melingkar anak asuhan
Adat yang lama berbudi berbahasa
Akar kehidupannya

Yang kurik kundi yang merah saga
Baik budi indahlah bahasa
Oh... oh... oh...
Pantun lama tinggi kiasannya

Berpantun seloka sambil menari canggung
Serentak melangkah rentak timur diarak
Gurau senda
Sopannya dijaga
Sepakat makin kukuh terikat

Hang dok pi hang dok mai
Lagu tu lagu mana
Pi sini pi sana depa menghela sakan
Awatlah dok kalut megah condong ke barat
Mai kita...

Pakat tarik ramai-ramai
Biar ke timur condongnya

( Perak )
Ada...O...ada E...
Bunyinya tidaklah serupa
Erti tidak berbeza

Betui yong betui sungguh
Betui ape di kate

Selembut tarian hoi...

Pada pendapat saya, lagu kurik kundi ini menggambarkan budaya dan bahasa masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa. Lagu turut memainkan peranan dalam menyatupadukan rakyat di negara kita. Kita haruslah bersyukur kerana dilahirkan di dalam sebuah negara yang aman serta mempunyai keunikannya yang tersendiri. Marilah kita bersama-sama menjaga keunikan ini demi kedaulatan negara.

Wednesday, 28 March 2012

SITUASI 19 : BAHASA ISYARAT

Bahasa isyarat ialah bahasa yang digunakan oleh orang-orang yang berkeperluan khas pendengaran untuk berkomunikasi dengan orang ramai iaitu pekak dan bisu. Bahasa isyarat menggunakan komunikasi secara manual, iaitu menggunakan bahasa tubuh seperti tangan dan gerak bibir, bukannya menggunakan suara untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Bahasa isyarat ini sangat unik kerana pengguna bahasa ini mampu berkomunikasi dengan pengguna bahasa yang berlainan bahasa, agama dan budaya. Saya sendiri pernah berkomunikasi dengan jiran ibu saudara saya yang bisu dan pekak. Namun komunikasi kami terganggu kerana saya tidak dapat memahami apa yang dia ingin sampaikan sehinggakan ibu saudara saya terpaksa menterjemahkannya. Apa yang menariknya, bagaimana orang-orang disekelilingnya yang tidak ada asas langsung mengenai bahasa isyarat dapat memahaminya? Munkin mereka sudah terbiasa berkomunikasi dengan mereka yang bermasalah pendengaran ini. 

bahasa isyarat

Pada pendapat saya, bahasa isyarat memudahkan komunikasi antara orang normal dengan orang berkeperluan khas. Tanpa isyarat-isyarat ini, sudah tentu kita tidak dapat berkomunikasi dengan mereka. Orang normal yang menguasai bahasa isyarat ini dianggap mempunyai satu kelebihan kerana tidak semua orang mampu memahami dan menguasai bahasa ini. 

"bisu atau pekak" 


Tuesday, 27 March 2012

SITUASI 18 : BAHASA BADAN


Bahasa badan merupakan salah satu cara untuk menyampaikan sebuah komunikasi dan yang pasti bahasa badan ini sudah tentu difahami oleh penerimanya. Menurut Albert Mehrabian, seorang pengkaji tentang bahasa badan dalam komunikasi manusia, impak kata-kata dalam menyampaikan mesej cuma sekitar 7%, 35% bergantung pada suara, intonasi dan kelantangan dan gaya percakapan. Lebih separuh lagi iaitu 55% bergantung kepada bahasa badan, memek muka, gerakan tangan dan kaki serta gerakan badan. Disini dapat saya senaraikan beberapa bahasa badan yang sering kita lakukan dalam komunikasi seharian.


  • Dia melihat diluar tingkap dan melihat orang lalu : Mungkin dia ada komitmen lain diluar atau rasa sesuatu lebih penting.

  • Melihat tepat kemuka kita bila kita bercakap : Mungkin dia nak tahu cerita selanjutnya.

  • Lihat jam di tangan atau didinding : Mungkin kesuntukan masa yang dirancang ataupun dia tiada masa untuk layan anda.

  • Memandang ke atas, meletakkan tangan di dagu, merenung kawasan yang kosong atau menoleh kekiri atau kekanan secara perlahan : Mungkin dia sedang berfikir untuk membuat pertimbangan idea anda.

  • Mimit muka, berkerut, mengerut kening : Mungkin dia tidak percaya atau curiga kata-kata kita itu.

  • Menarik nafas dalam, menggeliat : Mungkin dia mula bosan dengan cakap anda.

  • Membuat kerja lain ketika anda bercakap : Mungkin dia rasakan apa yang anda cakapkan tidak penting ataupun dia sengaja tidak mahu ambil perhatian atau bosan.

  • Berpeluk tubuh ketika berbincang : Mungkin ada sesuatu rahsia yang disimpan dan disorokkan dari pengetahuan anda.


  • Pada pendapat saya, kadang-kadang secara tidak langsung dan tidak sedar kita menggunakan bahasa badan dalam komunikasi seharian. Melalui bahasa badan, sesuatu mesej itu dapat disampaikan dengan jelas. Namun begitu, tidak semua bahasa tersebut difahami oleh penerimanya. Hal ini kerana, bahasa badan hanya difahami oleh orang yang biasa menggunakannya sahaja. 

    Monday, 26 March 2012

    ~SITUASI 17: BAHASA SMS~

    Kemudahan dalam Sistem Pesanan Ringkas ataupun singkatanya SMS yang terdapat dalam telefon bimbit telah membantu mempercepatkan komunikasi dalam kalangan masyarakat hari ini. Komunikasi ini boleh bersifat formal dan tidak formal. Dalam konteks formal, SMS yang dihantar ditulis dengan ayat yang betul dan baik mengikut nahu dan ejaan rasmi namun dalam konteks tidak formal, lazimnya SMS yang dihantar menggunakan kata singkatan, simbol dan sebagainya. Antara faktor penggunaan singkatan dalam SMS adalah bagi menjimatkan masa dan kos penghantaran SMS itu. Saya tidak nafikan yang saya turut menggunakan singkatan semasa menghantar SMS ini semasa berkomunikasi, tetapi apa yang ingin saya kemukakan di sini adalah singkatan yang melampau semasa menghantar SMS. 

    "pengaruh teknologi"

    CONTOH BAHASA SMS
    "slm..ko buwat pe?"
    "acc,ak d 2 test minggu ni.."
    "k..papehal roger ye.."
    "aq otw p umah ko"
    "uits..bila mau kuar jejln ag? buhsan r doq umah.."


    Pada pendapat saya, tidak salah menggunakan singkatan dalam menghantar pesanan ringkas ini, tapi jangan sampai menyusahkan penerimanya kerana tidak memahami mesej yang ingin anda  sampaikan. Bayangkan anda sendiri berada dalam situasi tersebut. Sudah pasti anda merasa bengang jika tidak memahaminya kan? Namun, masalah ini dapat dibendung jika kita bersama-sama memartabatkan bahasa kita. Bahasa jiwa bangsa.

    "hehe"

    Saturday, 24 March 2012

    SITUASI 16 : KATA GANDA WARNA DALAM DIALEK KELANTAN

    Saya di lahirkan di sebuah daerah kecil  iaitu Besut, Terengganu. Namun begitu, kami penduduk Besut bertutur dalam dialek Kelantan dan boleh dikatakan saya tidak pandai bertutur dialek Terengganu tetapi masih memahaminya. Hal ini disebabkan daerah Besut bersempadan dengan daerah Pasir Puteh, Kelantan. Apa yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah mengenai kata ganda warna dalam dialek Kelantan. Biasanya penutur dialek ini akan menambahkan kata ganda kepada kata adjektif dibelakangnya. 

    contoh dialek Kelantan

    CONTOH:

    WARNA
    KATA GANDA DIALEK KELANTAN
    B.M STANDARD
    biru [# biru #]
    ketu [# kətu #]
    Sangat biru
    ija [# iÇ°a #]
    kelong [# kəlɔɳ #]
    Sangat hijau
    mÔ‘̃ghoh [# mÉ›̃ɣɔh #]
    meghe [# mẽɣɛ #]
    Sangat merah
    klabu [# klabu #]
    asak [# asaÊ” #]
    Kelabu asap
    putih [# putih #]
    suih [# suwih #], lepok [# ləpɔʔ#]
    Sangat putih
    kuning [#kuniɳ#]
    lehe [# lɛhɛ #]
    Sangat kuning
    ite [# itÉ› #]
    lengik [# ləɳĩʔ #], lege [# lÉ™gÉ›̃ #]
    Sangat hitam


    Pada pendapat saya, setiap dialek mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Saya percaya, dialek-dialek lain turut mempunyai kata gandanya tersendiri. Satu kelebihan bagi seseorang itu jika dia memahami lebih daripada satu dialek.

        

    Friday, 23 March 2012

    ~SITUASI 15: BAHASA PASAR~

    Apa itu bahasa pasar? Bahasa pasar merupakan bahasa yang menggunakan struktur ayat Melayu tetapi perkataan campuran dengan perkataan bahasa pinjaman. Paling ketara ialah bahasa pasar menggunakan kata ganti nama asing seperti i,we all, you all, gua, lu, semua orang, bai, kitorang dan sebagainya. Bahasa pasar juga bahasa orang tidak terpelajar atau digunakan oleh orang terpelajar kepada orang tidak terpelajar. Bahasa ini boleh dianggap bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, perhentian bas,dan sebagainya. 

    CONTOH BAHASA PASAR
    “Saya boleh ajar apa macam menjaga itu budak: tidak lama dia nanti cukup baik dan sihat. Pertama-pertama itu budak kecil mesti selalu cukup bersih. Nas boleh tunjuk apa macam mahu kasi mandi itu budak. Lagi satu mesti ingat-ingat kasi itu budak makan dia punya emak punya susu saja, jangan susu lain. Itu emak punya susu dia punya makan yang lebih baik sekali, lagi lebih bersih dan senang boleh dapat, tidak kena belanja.”
    (Petikan daripada Pelita Bahasa Melayu)

    "sekadar gambar hiasan"

    CONTOH LAIN BAHASA PASAR 
    · Itu budak sudah curi saya punya dua ayam
    · Sana punya olang ada baik
    · Kita olang ada satu paying
    · Pandai punya orang
    · Dia punya rumah
    · Jahat punya budak
    · Dia punya bini
    · Ini punya buku manyak mahal

    Pada pendapat saya, kecenderungan masyarkat hari ini menggunkan bahasa pasar adalah kerana terikut-ikut dengan situasi setempat. Misalnya, apabila kita pergi ke pasar, secara tidak langsung, kita akan menggunakan bahasa ini terutamanya apabila berkomunikasi dengan peniaga bukan Melayu. Walaupun bahasa ini ternyata dapat mengkomunikasikan mesej, tetapi bahasa ini bukanlah bahasa tinggi. Sebenarnya bahasa ini dapat dielakkan jika kita membiasakan komunikasi harian kita dengan bahasa melayu standard.

    Thursday, 22 March 2012

    SITUASI 14 : BAHASA SINDIRAN~

    Situasi yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah mengenai bahasa sindiran. Anda semua sudah tentu pernah kena sindir malah turut menyindir orang kan? Saya tidak nafikan, saya turut melakukan amalan tersebut jika tidak berpuas hati dengan sesuatu. Kadang-kadang sesuatu perkara itu tidak boleh disampaikan secara terus tetapi maksudnya boleh disampaikan dengan cara menyindir kan??
    "Bahasa sindiran ialah bahasa atau perkataan yang ditujukan maksudnya kepada seseorang dengan tidak disebutkan dengan tepat, hanya disigung dengan dikias-kiaskan atau diarahkan kepada perkara lain kerana tidak suka hendak menyebitnya terang-terang. "
    "sindiran"

    SITUASI 
    A : Rumah kita semakin hari semakin bersepah lah..xde orang bertugas ke?
    B : Yelah..sebesar-besar jadual bertugas ni..tak ada orang nampak kot..
    A : Agak-agaklah..xmahu sapu sampah dan kemas rumah, buang sampah pun jadilah..xkan orang yang sama je brtugas setiap hari. Rumah kita, tanggungjawab kita. 
    B: Siapa makan cili,dialah yang terasa pedasnya. 


    Berdasarkan situasi tersebut, si A menggunakan bahasa sindiran bagi menegur ahli rumahnya yang tidak menjalankan tugas harian. Pada pendapat saya, bahasa sindiran ini ada baik dan buruknya. Yang baiknya, sesuatu benda itu dapat disampaikan secara berkias supaya orang yang melakukannya tidak berkecil hati dengan apa yang disampaikan oleh penyindir. Manakala yang buruknya, jika amalan sindir menyindir ini berterusan berlaku, ia juga boleh menyebabkan pergaduhan dan bertikam lidah antara satu sama lain. Sebolehnya, gunalah bahasa yang sopan semasa hendak menyindir bagi mengelakkan pergaduhan.

                                                             
      "budaya sindir menyindir"

    Wednesday, 21 March 2012

    ~SITUASI 13 : MENCARUT DAN MENYUMPAH SERANAH BUDAYA SIAPA??~

    Situasi yang ingin saya kongsikan hari ini ialah mengenai budaya masyarakat kita dalam berkomunikasi iaitu mencarut dan menyumpah seranah. Kebelakangan ini, kita dapat lihat status-status di laman sosial malah dalam perbualan seharian sudah tidak menggunakan bahasa yang sopan terutamanya bila emosi menguasi diri. Perkara ini bukan sahaja terjadi dalam kalangan remaja malah orang dewasa sendiri turut menggunakan bahasa kesat sebegini semasa emosi tidak terkawal. 

    "jangan mencarut"

    "Mencarut merujuk kepada perbuatan memaki hamun ataupun pengluaran kata-kata kesat. Secara umumnya, mencarut adalah perbuatan yang tidak berfaedah. Perbuatan ini hanya dapat mengurangkan rasa hormat orang terhadap diri kita sendiri. Dalam budaya Melayu itu sendiri, mereka yang mencarut dan bercakap tidak senonoh dianggap sebagai kurang ajar, kurang pendidikan, berasal dari keturunan tidak baik dan sebagainya."

    CONTOH-CONTOH BAHASA MENCARUT
    *macam haram 
    *pukimak
    *bahlul
    *bangang
    *celaka
    *babi
    *siut
    *sial 
    *fuck
    *shit 


    Pada pendapat saya, jika kita hendak menegur atau memarahi seseorang, tidak salah sesekali kita berkasar, tetapi bukanlah dengan cara mencarut atau menyumpah seranah. Cukuplah kita menegaskan dengan meninggikan suara atau menegur dengan bahasa sopan. Sesungguhnya tutur kata yang baik diumpamakan mutiara kata dan disukai oleh ramai orang. Kata-kata yang baik meletakkan penuturnya disenangi dan dihormati pendapatnya. Sesungguhnya perbuatan mencarut dan menyumpah seranah hanya menjatuhkan martabat bahasa kita sendiri.
    “Bukankah manusia terjerumus ke dalam neraka kerana tidak dapat mengendalikan lidahnya”. (Hadits Riwayat Tirmidzi) 


    Tuesday, 20 March 2012

    ~SITUASI 12: PEREMPUAN, WANITA @ BETINA~

    Situasi yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah mengenai perbualan yang terjadi semasa menaiki lif di kolej kediaman iaitu Kolej Harun Aminurrashid .

    A       : Ko tau betina tu mesej aku..warning supaya xganggu pakwe dia..
    B       : Dah ko tau betina tu tak dek akal, buat apa ko layan??
    A       : Masalahnya, dia mesej aku berulang kali, apa lagi..hangin satu badan la.,
    B       : Betina tu gila agaknya pakwenya dah tak sayang kan dia..
    A&B : Hahahahaha

    Terasa panas telinga saya mendengar perbualan tersebut. Tidak sabar rasanya ingin cepat sampai ke bilik dan tidak sanggup mendengar perbualan mereka.

    seindah hiasan adalah wanita solehah

    Pada pendapat saya penggunaan perkataan 'betina' itu yang tidak sesuai diberikan kepada seorang perempuan. Hal ini demikian kerana perkataan tersebut hanya sesuai diberikan kepada binatang. Tidak manis rasanya memanggil seorang perempuan itu dengan panggilan 'betina'. Seburuk mana pun seseorang itu, dia tetap seorang makhluk Allah. Apa rasanya bila orang memanggil kita dengan betina?? Mesti kita rasa terhinakan? Kesimpulannya, jagalah bahasa kita semasa berkomunikasi. Bahasa cerminan budaya.

    Monday, 19 March 2012

    ~SITUASI 11 : SORRY @ MAAF??~

    Perkataan 'sorry' sering kita ucapkan jika kita tersilap melakukan sesuatu . Situasi yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah kejadian sewaktu membeli nasi lemak di pasar malam.

    "sedapnya nasi lemak"

    Saya       : Berapa ya mak cik?
    Mak Cik : Nasik lemak sotong ya..RM 4.50 nak..
    Saya       : Nah duitnya makcik (menghulurkan not RM 50)
    Mak Cik : Tak ada duit kecik ke nak?
    Saya       : 'Sorry' makcik..xada..ni je duit yang saya ada.

    maaf vs sorry

    Berdasarkan situasi tersebut, kelihatan mak cik penjual nasi lemak tersebut tidak pelik apabila saya mengungkapkan perkataan "sorry" tersebut. Hal ini demikian kerana, perkataan "sorry" sudah menjadi satu kebiasaan semasa berkomunikasi untuk mengungkapkan kata maaf. Adakah perkataan "sorry" lebih selesa di ungkapkan berbanding kata maaf? Saya sendiri kekok untuk menggunakan perkataan maaf tersebut. Terasa agak skema bila menggunakannya sedangkan itulah bahasa ibunda kita. Pada pendapat saya, jika kita tidak membiasakan diri dengan sesuatu, sampai bila kita tidak akan merasa biasa. Oleh itu, saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kawan-kawan semua, kurangkanlah penggunaan kata "sorry". Budayakankanlah perkataan "maaf" apabila tersilap melakukan sesuatu.

    Thursday, 15 March 2012

    ~SITUASI 10 : LATAH~

    Situasi yang ingin saya kongsikan pada hari ini adalah mengenai latah. Nenek saudara saya merupakan salah seorang yang mempunyai penyakit latah ini. Pantang disentuh, pasti keluar latah dari mulutnya dan sukar untuk memberhentikannya. Semakin diusik dan disergah semakin mejadilah latahnya. Beliau selalu menjadi bahan ketawa sanak saudara kami. Kadang-kadang timbul rasa kasihan melihat keadaannya yang tak henti-henti melatah. Sebenarnya latah terjadi diluar kesedaran dirinya. Sebenarnya saya sendiri kurang pasti bagaimana seseorang itu boleh melatah. Adakah ia sejenis penyakit atau sengaja dibuat-buat? Memetik kata-kata dari sebuah laman web hasil carian di GOOGLE :

    "Penulis puku American Normal : Lawrance Osbome pernah menyatakan jika masyarakat America Syarikat (AS) popular dengan penyakit anoreksia, orang Nigeria mengalami masalah kepenatan minda dan bangsa Melayu pula menghidap "penyakit" LATAH (hyperstartle syndrome)." 
    Meskipun kumpulan perubatan masih belum menemui punca sebenar latah, tetapi ia dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial. Menurut Dekan Klinikal Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan , Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr.Azhar Zain, sistem saraf pusat yang dimaksudkan ituberlaku dibahagian tengah otak. Jelasnya lagi, apabila golongan ini disergah dengan serta merta, sistem limbik (di bahagian tengah otak) terganggu dan boleh menyebabkan mereka terkejut, lalu melatah. Pada saat itu, berlaku sedikit konflik emosi dan memori. Sebab itulah, jika diperhatikan individu yang melatah bukan sahaja melakukan aksi di luar kawalan, malah mereka tidak akan mengingati apa yang berlaku sepanjang insiden tersebut.




    Pada pandangan saya, jika kita mempunyai kenalan atau saudara terdekat yang mempunyai penyakit latah ini, kita seharusnya membantu mereka mengurangkan penyakit ini dengan tidak mengusik mereka. Kadang-kadang pesakit boleh membahayakan orang sekeliling jika terdapat sesuatu benda tajam di tangan mereka. Selain itu, pesakit juga adakalanya menyebut perkataan yang tidak senonoh seperti menyumpah seranah dan mencarut.


    Wednesday, 14 March 2012

    SITUASI 9: BAHASA HALUS

    Situasi bahasa seterusnya yang ingin saya kongsikan pada hari ini adalah bahasa halus. Bahasa halus ialah bahasa yang digunakan secara beradat dan bersopan santun serta menggunakan  segala strategi untuk memaniskan percakapan. Terdapat beberapa tujuan penggunaan bahasa halus ini antaranya menghormati dan menjaga perasaan orang yang dilawan bercakap, mewujudkan kemesraan dalam perhunbungan dan sebagainya. Selain itu, kedudukan, pangkat, umur, keakraban antara penutur dan pendengar turut mempengaruhi pemilihan perkataan dan kata ganti nama diri ini.Kebiasaanya bahasa kiasan atau peribahasa juga digunakan sebagai medium bahasa halus ini. Oleh itu, bahasa halus ialah bahasa sopan dan lebih manis serta tidak menyinggung perasaan orang yang mendengar atau membaca. 

    contoh penggunaan bahasa halus
    mati-meninggal dunia
    orang gaji-pembantu rumah
    kencing-buang air kecil
    berak-buang air besar
    bunting-mengandung
    isteri-orang rumah
    suami-bapa budak
    jamban-tandas

    "kesantunan berbahasa"


    Situasi
    Fazira: Salina jom pergi jamban kejap. Saya nak betulkan tudunglah..
    Salina : Jom..aku pun nak kencing jugak ni..
    Berdasarkan situasi diatas, terdapat penggunaan bahasa kasar dan tidak sepatutnya digunakan iaitu jamban yang sepatutnya ditukar kepada tandas dan kencing ditukar kepada buang air kecil.  Pada pendapat saya, sebagai orang Melayu, kita haruslah mengekalkan kesantunan dalam berbahasa apabila berkomunikasi. Penggunaan bahasa halus lebih manis didengar terutamanya apabila orang perempuan bercakap. Penggunaan bahasa yang salah boleh menyebabkan kita dianggap tidak sopan dan tidak beradab terutamanya semasa berada di dalam situasi formal.

    Tuesday, 13 March 2012

    SITUASI 8: PENGARUH FILEM DALAM BAHASA

    Sebut sahaja filem HANTU KAK LIMAH BALIK RUMAH, pasti semua orang tersenyum. Filem arahan Mamat Khalid itu menjadi fenomena kepada semua golongan tidak kira tua, muda, malah kanak-kanak sendiri terikut dengan bahasa Perak Utara yang digunakan dalam dialog filem tersebut. Boleh dikatakan semua warga "mukabuku" terutamanya golongan remaja memberi pautan tentang bahasa yang digunakan dalam filem tersebut semasa memberi komen status rakan-rakan. Melihat situasi ini , dapat kita simpulkan betapa besarnya pengaruh filem terhadap penggunaan bahasa seharian . Masyarakat pada hari ini mudah terpengaruh dengan sesuatu yang tidak di ketahui baik buruknya.

    "hantu Kak Limah balik rumah"

    Contoh bahasa dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah

    "Kak Limah"

    Pada pendapat saya, pengarah sesebuah filem harus peka semasa menulis skrip selepas ini. Tidak salah unsur humor ditekankan semasa menulis skrip, namun kepentingan menjaga bahasa juga harus di titikberatkan. Hal ini demikian kerana, filem merupakan salah satu unsur yang mencerminkan keindahan dalam berbahasa malah dapat memartabatkan bahasa ibunda kita. Bahasa jiwa bangsa.

    Monday, 12 March 2012

    SITUASI 7 : KEPERCAYAAN @ PANTANG LARANG

    Situasi bahasa yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah mengenai kepercayaan. Kepercayaan bermaksud anggapan atau keyakinan bahawa sesuatu yang dipercayai itu benar dan nyata. Setiap kaum atau bangsa mempunyai kepercayaan mereka tersendiri. Malah, kepercayaan itu masih diamalkan sehingga hari ini. Sebagai contoh masyarakat Melayu itu sendiri mengamalkan kepercayaan nenek moyang mereka sejak turun temurun lagi. Situasi ini saya alami sendiri semasa di rumah.

             Setiap hari saya dan adik akan menolong ibu memasak hidangan tengahari di dapur. Adik saya Mariza, selalu menyanyi sambil memasak sehinggakan kadang-kadang dia tidak sedar ibu memanggilnya. Suatu hari, ibu saya menegurnya. " seorang anak gadis yang suka menyanyi dan bersiul di dapur akan mendapat suami yang tua apabila berkahwin kelak" . Mariza terus senyap dan saya hanya mentertawakannya. Terasa lucu dengan teguran ibu itu.

    Contoh kepercayaan/pantang larang masyarakat Melayu:
    *perempuan tidak elok bangun lambat, nanti sukar dapat jodoh
    *jangan angkat kaki semasa meniarap, nanti ibu meninggal
    *jangan mengintai orang mandi, nanti mata ketumbit
    *jangan tunjuk pada pelangi, nanti tangan kudung
    *jangan ketawa waktu magrib, nanti masuk hantu
    *jangan bersiul dalam rumah, nanti ular masuk
    *jangan duduk atas bantal, nanti naik bisul
    *jangan jelir lidah,nanti kena potong
         
    "jangan ya"

    Pada pendapat saya, jika kepercayaan ini dianggap benar, maka tidak mustahil setiap golongan perempuan yang masih belum berkahwin  tidak akan menyanyi sambil memasak ketika di dapur. Hal ini demikian kerana, siapa saja tidak mahu berkahwin dengan lelaki tua kan?. Sebenarnya kita tidak di galakkan menyanyi sambil memasak kerana bimbang berlakunya sesuatu yang memudaratkan seperti masakan yang dimasak hangit dan sebagainya. Situasi ini menunjukkan bahawa nenek moyang kita  dahulu banyak meninggalkan kepercayaan termasuk pantang larang, tunjuk ajar, nasihat dan sebagainya kepada kita hari ini sebagai panduan dalam kehidupan. Oleh yang demikian, setiap kepercayaan dalam masyarakat itu mempunyai tujuannya yang tersendiri dalam mendidik masyarakatnya.



    Sunday, 11 March 2012

    SITUASI 6 : GILA??

    Situasi bahasa yang saya ingin kongsikan pada hari ini ialah tentang penggunaan perkataan 'gila' diakhir perkataan semasa berkomunikasi . Situasi ini berlaku semasa saya dan memuat turun gambar kawan saya yang berkahwin baru-baru ini dalam "mukabuku". Selepas beberapa minit, seorang sahabat saya memberi komen kepada gambar tersebut.

    Situasi
    SI  A  : "cantik GILA Noha !! Naik seri pengantin..papepon..selamat pengantin baru buat Noha dan Rafaei.. 
    SAYA:  Kalau ya pun cantik..xkan sampai gila kot?? heheheh
    SI  A   : Yelah..teruja tengok orang kahwin..x sabar lak nak kahwin..ko punya bila lak??
    SAYA : Lambat lagi kot..tunggu ko dulu..baru sampai turn aku..hehehe


    cantik 'gila'

    Apabila diperhatikan, ayat tersebut merupakan ayat yang salah dari segi susunan tatabahasanya. Selain itu,  ayat tersebut menggunakan dua kata adjektif dalam satu ayat iaitu 'cantik'  dan 'gila' . 'Gila' disini adalah untuk menegaskan bahawa betapa cantiknya kawan saya tersebut dipandangan matanya. Biasanya penggunaan kata 'gila' ini hanya diletakkan dibelakang kata adjektif. Contoh :

    gemuk gila
    kurus gila
    besar gila
    penat gila
    sakit gila


    Sebenarnya terdapat banyak lagi penggunaan kata 'gila' dalam kehidupan seharian kita. Pada pendapat saya penggunaan kata 'gila' ini tidak seharusnya digunakan untuk menunjukkan darjah perbilangan yang paling tinggi. Penggunaan kata 'gila' ini boleh memberi kekeliruan kepada pengguna bahasa sama ada apa yang diberitahu itu bersifat gila ataupun sebagai kata penegas sahaja. Oleh yang demikian, dalam memartabatkan bahasa Melayu, kita seharusnya sensitif dengan perkataan ini dan tidak menggunakannya dalam perbualan seharian.

    Friday, 9 March 2012

    SITUASI 5: PENGGUNAAN 'OK'

    Penulisan kali ini adalah bertujuan membincangkan penggunaan ok dalam perbualan seharian. Penggunaan ok telah menjadi kelaziman terutamanya semasa memulakan perbualan, mengakhiri perbualan dan mengesahkan sesuatu. Pensyarah subjek Karya Agung saya iaitu Prof Emiretus Abdullah Hassan sangat menekankan kepada pelajar-pelajarnya supaya menggunakan bahasa Melayu tinggi dan penggunaan ok didalam kelasnya tidak dibenarkan sama sekali. Penggunaan ok dapat kita lihat dalam komunikasi kita bersama rakan-rakan malah saya sendiri turut terbiasa dengan perkataan itu. Sewaktu merakamkan video pengajaran video untuk subjek (KPD 2056) minggu lepas, saya turut tersasul menyebut perkataan ok kepada pelajar-pelajar di hadapan saya.

    contoh:
    "saya : ok..cikgu nak kamu semua perhatikan teks yang diberikan, kemudian cari isi penting tentang keburukan merokok.."



    Sebenarnya penggunaan ok boleh dielakkan dengan menggantikan perkataan tersebut dengan 'baiklah' dan perkataan yang difikirkan sesuai dengan konteks penggunaanya. Sekiranya kita gagal dalam membendung penggunaan 'ok' ini, penggunaan bahasa Melayu baku yang sempurna tidak akan tercapai. Sebagai seorang mahasiswa dan bakal guru, saya brharap rakan-rakan dan anda semua mengurangkan penggunaan perkataan ini dalam komunikasi seharian. 


    BAIKLAH (^____^)